Rumah Tradisional Melayu Rahsia Sebalik Ruang



Rumah tradisional Penghulu Abu Seman
   

            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rumah merupakan binaan untuk tempat tinggal. Binaan ini mewujudkan ruang tertentu dengan keperluan yang tertentu. Namun begitu, rumah tradisi ia mempunyai unsur binaan yang unik mengikut kepercayaan sesetengah budaya di Malaysia. Oleh itu, bagi rumah tradisional melayu di negara ini, terdapat kepercayaan dan kaedah pembuatan yang tersendiri. Rumah Tradisional diertikan sebagai rumah yang dibina dengan cara yang sama sejak beberapa generasi tanpa banyak perubahan.  
Terdapat beberapa jenis rumah tradisional Melayu iaitu rumah perabung panjang, rumah limas dan rumah bumbung perak di Malaysia. Walaupun terdapat beberapa jenis rumah tradisional ini, keperluan ruang pada asasnya adalah sama namun yang membezakannya adalah unsurnya dan rekabentuknya.
Rekaan bentuk ruang yang wujud dalam rumah tradisi Melayu itu sangat berlandaskan kepada ajaran Islam. Hal tersebut merupakan panduan bagi masyarakat Melayu dalam menetapkan sesuatu keperluan ruang seperti rumah. Penghayatan masyarakat melayu yang berlandaskan al-quran sangat mempengaruhi pembinaan ruang dalam ruma. Sebagai contoh bukaan ruang banyak dilihat pada dinding, tingkap, pintu dan juga atap untuk keluar masuk cahaya, dan udara dalam setiap ruang agar tidak gelap dan panas.
 Jika dilihat pengaliran udara, dan cahaya yang memasuki ruang rumah melayu tradisional, terdapat banyak unsur udara dan cahaya yang terjalin yang seolah – olah berkemunikasi antara alam sekitar dengan si penghuni. Hal ini menggambarkan bahawa rekaan pada ruang itu berpandukan ajaran Islam itu apresiasi ciptaan Tuhan diberikan perhatian untuk dimanfaatkan dalam kehidupan manusia melalui ruang rumah mahu pun di luar rumah.
Menurut tulisan Syed Ahmad Jamal (1992) dalam Rupa dan Jiwa ia memetik surah an Nur daripada ayat 35, yang bermaksud “ Cahaya belapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada nur hidayat – Nya itu…” itulah gambaran tentang ruang rumah tradisional  Melayu yang merujuk kepada penghayatan ayat tersebut. Adaptasi maksud bagi orang menggambarkan ayat ini terdapat pada bahagian bukaan ruang rumah seperti dibahagian dinding yang mempunyai ukiran, tingkap yang banyak, pintu serta bahagian bumbung dan lantai – semuanya bertujuan untuk memudahkan cahaya dan udara keluar masuk kedalam ruang rumah.
Dekorasi yang terdapat pada dinding, pintu dan tingkap semuanya adalah ukiran yang mendapat inspirasi dari alam, seperti bunga tanjung, teratai dan banyak lagi. Dekorasi ini juga fungsinya untuk membenarkan cahaya dan udara masuk kedalam setiap ruang rumah.Rekaan yang wujud semuanya diperoleh dari alam sekitar sebagai penghargaan terhadap pencipta. Rekaannya sering berulang – ulang sebagai satu zikir dan menggambarkan bahawa tiada penghujung dan tiada pangkal - sebagai aspirasi mereka kepada sifat Tuhan yang infiniti.
Selain itu, bahan rumah tradisi ini juga memberi impak pada setiap ruang. Oleh itu, jelas rumah ini di bina sepenuhnya daripada bahan alam sekitar seperti kayu dan penggunaan bahan ini menjadikan kita dekat dengan alam. Di samping itu, bahan yang digunakan juga terkesan pada gerak langkah apabila seseorang itu memasuki runmah ini. Langkah yang diatur untuk memasuki ruang rumah ini akan dimulakan dengan begitu lembut dan perlahan kerana bahan kayu ini akan menghasilkan bunyi apabila dipinjak. Bunyi itu secara tidak langsung memberi kesan psikologi buat seseorang untuk memperlahakan pergerakkan ketika berada di dalam ruang rumah. Hal ini memberikan kesan pada gaya fizikal, iaitu menjadi lebih sopan dan beradap terutamanya bila melawat ke rumah jiran.  
 Ini keunikan yang tidak dapat dipisahkan dalam ruang rumah tradisional dan sangat berbeza daripada rumah pada hari ini yang tidak lagi berlandaskan ajaran Islam. Rekaan ruang rumah pada hari ini sangat terbatas, terutamanya pada aliran keluarmasuk angindan cahaya, sekali gus memberi kesan kepada penghuni. Ruang rumah moden yang ada kini mudah membiakkan kulat pada ruang seperti bilik tidur kerena kurangnya pengaliran keluar masuk angina dan cahaya yang memberikan pengudaraan yang kurang baik pada penghuni di ruang tersebut. Bahan yang digunakan juga membentuk gaya penghuninya.  
            Ruang pada asas binaan rumah tradisi ini terdiri daripada anjung, serambi, ibu rumah, bilik, kelek anak, pelantar dan dapur. Dalam rekaan rumah tradisional, setiap ruang itu disusun atur mengikut peringkat tertentu. Ruang pertama yang akan dilalui adalah anjung atau serambi, kemudian dituruti oleh ruang ibu rumah dan seterusnya bilik, kelek anak pelantar, dapur dan bahagian belakang rumah. Ruang tersebut masih mempunyai fungsi yang tertentu. Setiap rekaannya berdasarkan faktor tertentu seperti faktor agama, sosial dan iklim. Oleh itu, penulisan ini hanyalah melihat kepada asas ruang rumah itu sahaja dan mencari intipati ruang rumah tradisional Melayu.
            Konsep ruang rumah Melayu adalah berbeza dengan konsep rumah moden. Ruang rumah tradisonal Melayu mempunyai fungsi yang tertentu. Konsep ruang rumah Melayu ini agak fleksibel apabila dilihat pada fungsinya. Sebagai contoh, serambi yang digunakan untuk menerima tetamu juga boleh digunakan sebagai tempat tidur di waktu malam untuk anak lelaki. Selain itu, ruang ini juga dijadikan sebagai tempat kenduri -kendara. Bilik tidur pula hanya untuk perempuan sahaja dan ruang makan digunakan untuk makan dan sebagainya.
Semua kegunaan ruang yang dinyatakan tersebut melihatkan fleksibiliti zon ruang yang ditetapkan. Dari segi pencahayaan pula, rumah Melayu sangat memberikan kebebasan kepada cahaya semula jadi untuk menerangi ruang rumah tersebut. Bukaan ruang rumah ini sangat terbuka, sekaligus memberi pencahayaan yang baik bagi setiap ruang yang ada, serta mendorong penghuni menerima aura cahaya semula jadi yang sifat spiritual yang positif. Begitu juga dengan pengaliran udara, yang menjadikan suhu dalam ruang yang ada dapat di semulajadikan buat penghuni agar berasa lebih sejuk dan nyaman.
            Masyarakat Melayu sangat dipengaruhi oleh agama Islam kerana dalam setiap rekaan atau ruang yang dicipta semuanya disandarkan kepada agama Islam itu sendiri. Oleh itu mereka sangat mengambil berat akan hal ini yang berasakan kepada konsep moral yang tinggi. Keadaan ini dipengaruhi ketika kemasukan Islam ke Tanah Melayu satu ketika dahulu. Setiap ruang yang dicipta perlu berlandaskan konsep moral ini. Maka itu, dalam masyarakat Melayu, zon keruangan akan dibahagi berlandaskan kepada konsep moral, iaitu ruang akan dibahagi untuk ruang lelaki dan perempuan.
Pembahagian ini telah mewujudkan pengagihan antara perempuan dan lelaki, sekaligus mempengaruhi zon keruangan rumah ini. Keadaan tersebut berlaku disebabkan dalam Islam, lelaki dan perempuan dilarang keras bergaul bebas bagi yang bukan muhrim bagi mengelakkan perkara negative. Secara tidak langsung, konsep ruang dicipta mengikut aturan Islam bagi mengekalkan maksud moral itu.
            Ruang yang wujud dalam rumah tradisional ini turut dipengaruhi oleh keperluan orang Melayu ketika itu. Hal ini dapat dilihat pada kaum lelaki Melayu, yang didalam rumah itu merupakan ketua dan bahagian hadapan seperti anjung dan serambi merupakan kawasan mereka. Kaum wanita pula akan berada dibahagian kelek anak atau dapur untuk melayan tetamu wanita. Tetamu lelaki dilarang keras daripada melewati ruang yang dikhaskan untuk wanita tanpa izin keluarga lelaki. Keadaan ini bukan meletakkan kedudukan perempuan itu dibelakang atau dibawah tetapi ia adalah untuk menjaga keselamatan, aurat atau kebajikan perempuan yang menghuni sesebuah rumah itu.
Hal ini memperlihatkan sikap orang Melayu yang sentiasa peka dan sensitif akan permasalah dalam susun atur ruang rumah tersebut yang perlu berlandaskan kepada ajaran Islam agar organisasi kekeluargaan sentiasa dijaga dan diperilhara dalam ruang yang wujud dalam rumah itu. Melalui hal ini, kehalusan pemikiran masyarakat Melayu dalam menjaga sesebuah keluarga terutama bagi perempuan dan hak peribadi sesebuah keluarga. 
Selain itu, ruang rumah tradisi ini juga tidak mempunyai perabot yang banyak - penggunaan perabotnya sangat minimum. Jelas sekali, masyarakat Melayu lebih memfokuskan bahagian rumah seperti dinding, bumbung dan struktur rumah. Hal ini, dapat dilihat melalui ruangnya yang dibina dengan mengambil kira inpirasi alam sekitar yang dapat memberi manfaat pada penghuni dalam menggunakan ruang itu kelak.

Ruang ibu rumah, Rumah tradisional Penghulu Abu Seman

Namun, Menurut Syed Ahmad Jamal, Titus Burckhardt mengamati seni rupa Islam pada peringat konsep dan bukan pada ruang. Keadaan itu menjelaskan fungsi ruang rumah tradisi ini bukan terletak pada fizikal malah fungsi ruang diamati dalam keadaan spiritual. Oleh itu, ruang rumah tradisional ini jika dilihat agak kosong dan tenang tanpa banyak bentuk lain yang wujud kerana pengamatan mereka dari segi spiritual untuk mengingati pencipta.
Seperti yang dijelaskan oleh Seyyed Hossein Nasr, ruang kosong memainkan peranan positif dalam seni rupa dan seni bina Islam dengan menjadikan zat benda jernih, mendedahkan keadaan fana, serta meresapkannya ke dalam bentuk material kesedaran tentang keesaan sang pencipta. Oleh itu, hal tersebut menjadikan ruang rumah ini bersifat minimum yang bertujuan sebagai ibadah buat pengghuni rumah. Walauppun ungkapan Titus ruang bukan pengamatan rupa Islam, masyarakat melayu menjadikan fungsi ruangan rumah mereka sesuatu yang berjiwa positif seperti yang dijelaskan oleh Seyyed Hossein sebagai sesuatu yang jernih. Hal ini dapat dirasakan dan menjurus manusia kepada Tuhan yang esa.
Syed Ahmad Jamal ada dinyatakan bahawa ruang mempunyai aneka dimensi. Ruang hendaklah diamati bukan pada hiasan dua dimensi sahaja tetapi perlu meliputi diluar, didalam dan antara kewujudan bentuk, rupa, corak, garisan dan seterusnya. Masyarakat Melayu merupakan orang Islam yang sentiasa percaya dan sedar akan keadaan alam fana dan alam baqa. Keadaan ini menjadikan ruang di rumah tradisional mempunyai suatu keadaan yang terkait dengan falsafah alam fana dan alam baqa sejajar dengan kehidupan manusia di dunia ini sebagai satu ruang sementara dan di akhirat sebagai satu ruang kekal.
Ruang rumah Melayu tradisional mempunyai konsep yang tersendiri dengan berlandaskan agama Islam iaitu mempunyai ruang yang umum dan khas. Serambi dan kelek anak adalah ruang untuk menyambut tetamu yang dikategorikan sebagai ruang umum. Ruang ini berfungsi untuk upacara adat istiadat kematian dan lain- lain. Ruang seperti bilik, atau ruang rumah itu ialah ruang khas yang tidak boleh atau dilewati oleh tetamu terutamanya lelaki. Ruang rumah ini dibahagikan kepada tiga bahagian seperti depan, tengah dan belakang seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1 yang diungkapkan oleh Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan The dalam buku yang bertajuk Rumah Tradisi Melayu.
Melalui buku The Malay House Rediscovering Malaysia’s Indigenious Shelter System, Lim Jee Yuan menyatakan bahawa ruangan rumah tradisional ini juga merupakan kepelbagai fungsian yang akan berubah mengikut masa, hari dan tahun berdasarkan sesuatu keadaan. Begitu juga ruangan di bahagian bilik dapur. Bahagian ini adalah untuk aktiviti harian seperti masak, membasuh dan sebagainya. Dikawasan ruang ini biasanya mempunyai pintu dipelantar (sama ada beratap atau terbuka). Pelantar digunakan untuk tujuan membasuh pakaian dan pinggan mangkuk serta aktiviti lain yang ada hubungan kerja-kerja di dapur seperti mengiling lada dan rempah.
Kebanyakan pelantar akan dibina tangga bagi tujuan ke telaga atau ke tandas. Kelek anak mempunyai fungsi yang sama seperti serambi, tetapi ia khususkan untuk kaum wanita. Disinilah tetamu wanita dilayani dan juga sebagai tempat berkomunikasi sesama mereka. Ruang ini sangat penting ketika kenduri kendara. Segala persiapan memasak semasa kenduri akan berlaku disini. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat tidur jika tiada kenduri dan majlis seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2.
Rumah Melayu yang mempunyai ukiran mestilah mengikur aturan tertentu. Ukiran tersebut haruslah ditetapkan pada bangunan rumah agar ukiran kayu itu tidak bercanggah dengan tataletak ukiran yang berhubung dengan adat resam, kepercayaan, nilai dan sebagainya. Terdapat dekorasi di setiap ruang itu yang  berkaitan dengan keadaan cuaca yang panas dan lembap. Kolongnya yang terbuka memudahkan pengedaran udara masuk dan keluar dari bawah rumah.  
            Diperenggang dinding pula terdapat ukiran pada luar dinding dan dinding pemisah ruang. Antara yang sering digunakan ialah ukiran tebuk terus atau ukiran kisi – kisi yang berfungsi untuk memberi pengedaran udara keluar masuk yang sempurna. Dengan cara itu, udara yang terperap didalam ruang rumah dapat keluar melalui celah lubang ukiran dan memberikan udara bersih dari luar masuk ke dalam. Dinding yang mempunyai ukiran yang digunakan disebut sebagai Dinding Janda Berhias dan Dinding Papan Kembung. Tataletak ukiran pada perengggang ini juga adalah lebih menonjol serta indah kerana memberikan gambaran kepada status penghuni rumah tersebut.
            Secara amnya, ukiran ini haruslah disesuaikan dengan fungsi ruang rumah dan bahan binaanya. Ukiran juga haruslah tidak mengenepikan konsep serta aturan lain yang berkait dengan adat resam, nilai keindahan dan nilai guna yang menjadi pegangan dan pusaka Melayu.
            Ukiran ini diwujudkan didalam setiap ruang rumah tradisional bagi membenarkan cahaya semula jadi memasuki ruang dalam rumah. Hal ini berdasarkan surah yang diturunkan oleh Allah SWT agar umatnya menerima cahaya hidayah dan masyarakat Melayu mengaplikasikannya kepada ruang kediaman agar mereka sentiasa mendekatkan diri dengan Pencipta. Keadaan ini juga memberi inspirasi buat mereka agar berada dijalan yang lurus dan diredhai untuk menuju syurga di akhirat kelak.   
            Secara keseluruhannya, masyarakat Melayu mempunyai kehalusan pemikiran yang mendalam yang berasakan logik dan akal. Ketelitian Pemikiran masyarat melayu juga sering mendorong ke arah kebaikan. Kita dapat lihat orang Melayu mempunyai asas binaan strukturnya yang tersendiri dan sangat terancang dalam kehidupan harianya bagi berdepan dengan keperluan. Mereka mempunyai adab tertib yang dijaga dengan falsafah tertentu semuanya berpandukan ajaran Islam tersebut sebagai satu hala tuju dalam kehidupan. Semua yang dihasilkan mempunyai simbolik yang tersendiri.
            Pembinaan ruang di dalam rumah tradisional dapat membentuk sikap masyarakat Melayu seperti ruang serambi yang dibina bagi tujuan ruang komunikasi untuk perhubungan sesama mereka yang baru terjalin dan yang telah lama terjalin. Hal ini juga mendorong kepada ukhuwah sesama mereka dalam berkomunikasi agar hubungan antara Islam dengan buka Islam sentiasa terjalin dengan aman. Hal ini jelas setiap ruang yang disediakan mempunyai maksud yang tersendiri, namun yang pasti membawa tujuan halal dan haram serta sesuatu keadaan itu untuk kebaikan semata – mata pada masa hadapan dalam kehidupan harian mereka.
Oleh itu, kita dapat lihat hasil pembentukan sesuatu ruang dan bentuk rekaan ruang rumah Melayu memberi implikasi kepada penghuninya dalam membentuk sahsiah keluarga dan ia bergantung kepada ajaran agama, budaya dan persekitaran Hal ini menjadikan kepelbagai rupa dan jiwa dalam pembinaan ruang rumah tradisional Melayu. Malangnya, pada hari ini, kita telah dilenyapkan daripada pemikiran atau falsafah tradisi ini oleh arus kemodenan dan pemikiran konsep Barat dalam ruang kediaman kita. Maka itu, tidak hairanlah jika pada hari ini tidak ada batasan dan ruang menjadi sama rata fungsinya. Tiada batasan dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan kerana konsep ruang tanpa batasan telah disalahertikan oleh generasi baru.
Namun ia bukan menunding jari pada pemikiran Barat atau pada sesiapa pun. Dunia tanpa sempadan mempunyai cabaran, ruangnya begitu kompleks dan padat dengan lingkaran informasi, namun sunyi daripada hubungan realiti serta adab antara manusia. Pada suatu ketika dahulu, ruang serambi merupakan ruang kominukasi masyarakat Melayu yang tinggi kesan fizikal dan spiritual dalam hubungan sesama manusia dan kini ia menjadi memori buat kita hari ini. Walaupun ruang kita pada hari ini sangat luas dan kita boleh berkomunikasi tanpa batasan, hubungan antara manusia menjadi kecil dan terpencil dari segi rohani dan jasmani.
Ruang rumah tradisional ialah satu titik permulaan dalam mengembalikan budaya kita agar kita tidak hanyut dibawa arus gelombang teknologi. Teknologi sangat membantu kehidupan kita hari ini namun tidak boleh mendijadikan satu keadaan yang membolehkan kita membuang pegangan terhadap agama, budaya dan persekitaran. Kewujudan teknologi perlu menjadi peralatan buat kita agar falsafah ruang rumah tradisional melayu menjadi rujukan inspirasi buat kita dalam membentuk ruang baru pada alaf baharu ini. Semuanya perlu diamati agar kita mempunyai jati diri yang mendalam untuk lebih maju dalam ruang yang serba mecabar.



 Rajah 1


Bahagian Ruang
Jenis Ruang
Konsep ruang
Aktiviti
Depan
Anjung, Serambi
Umum
Menerima tetamu, kenduri kendara, upacara kematian
Tengah
Bilik , Ibu Rumah
Khas dan separa khas
Untuk anak gadis dan anak lelaki
Belakang
Kelek anak , dapur , pelantar
Umum dan untuk tetamu wanita
Memasak,mengoreng membasuh

Rajah 2

suhananordin/dewanbahasa/bil12.2019

Comments

Popular posts from this blog

Chasing A dream